Sabtu, 17 September 2011

Mansuh ISA Keputusan BN - Najib

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan hasrat kerajaan Barisan Nasional (BN) berdasarkan kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

Sambil menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa pemansuhan berkenaan adalah hasil perjuangan mereka, Perdana Menteri berkata keputusan itu juga selaras dengan hasrat peribadi beliau sebelum ini agar akta berkenaan dipinda.

"Jangan hendaknya ada orang yang nak dakwa kononya pengumuman saya adalah kerana hasil perjuangan mereka. Ini bukan hasil perjuangan mereka, ini adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan BN kerana kita mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian rupa.

"Ini juga adalah selari dengan hasrat yang saya sebutkan masa saya ambil alih jawatan Perdana Menteri dua tahun yang lalu, saya telah katakan hasrat saya untuk meminda ISA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Mesra Bersama Penyokong Barisan Nasional "Sireh Pulang ke Gagang" di Dewan Agong Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM) di sini, Sabtu.

Najib menerusi Perutusan Khas Hari Malaysia pada Khamis mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya undang-undang baru itu akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 27 Akta Polis 1967.

Selain itu Najib berkata pemansuhan itu juga selari dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan satu sistem demokrasi yang lebih progresif dan terbuka.

"Saya nak nyatakan bahawa perubahan yang saya umumkan itu adalah kerana kita mendengar suara dan isi hati rakyat.

"Perubahan ini juga akan meletakkan Malaysia di atas landasan yang lebih kukuh kerana kita akan membentuk sebuah demokrasi yang lebih progresif dan terbuka di samping kita dapat memelihara keharmonian dan ketenteraman negara," katanya.

- Mstar online.

Adun DAP Mohon Maaf Atas Komen Jalur Gemilang

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mengeluarkan pandangan kontroversi di laman Facebooknya agar bendera Jalur Gemilang ditukar jika Pakatan Rakyat memerintah akhirnya telah menarik balik kenyataan tersebut.

Beliau telah memohon maaf tentang pandangan tersebut di laman Facebook beliau.

“Saya anak Malaysia yang patriotik. Saya memohon maaf jika komen saya mengenai bendera Malaysia itu telah menimbulkan perasaan tidak selesa kepada anda semua. Terima kasih,” katanya dalam kemaskini yang dibuat di laman tersebut.

Terdahulu, ketika dihubungi oleh The Star, beliau memberi alasan mengeluarkan pandangan tersebut kerana berpendapat, rekaan bendera Jalur Gemilang menyerupai bendera Barisan Nasional (BN) dan tidak memberi gambaran mengenai rakyat Malaysia.

Manoharan yang mengedarkan bendera DAP di sekitar kawasannya bersempena sambutan Hari Malaysia pada Khamis berkata, beliau tidak mempunyai keinginan untuk mengibarkan bendera kebangsaan itu.

“Saya mempunyai bendera Malaysia bersama-sama. Namun, apabila saya mengibarkannya saya berasa seperti mengibarkan bendera Barisan,” katanya sambil menyangkal dirinya seorang yang tidak patriotik.

Beliau juga berkata, Jalur Gemilang juga mempunyai persamaan dengan bendera Amerika Syarikat (AS), di mana ia sering mengelirukan para pelancong apabila sekali pandang.

Manoharan sebelum itu, memasukkan entri di laman Facebook bahawa dia “enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti bendera BN,” katanya seperti yang dilaporkan laman web The Mole.

Beliau kemudiannya menulis: “Kita tidak mempunyai bendera bertaraf dunia. Orang Amerika sedang mentertawakan kita. Sila pergi ke AS dengan bendera kita. Tapi sebelum itu, pastikan kedutaan Amerika mengeluarkan visa dulu.”

Beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap sebilangan rakyat Malaysia yang bekerja di organisasi bantuan bukan kerajaan di luar negara yang mungkin terasa kerana dianggap sebagai rakyat Amerika.

“Untuk melindungi diri anda sendiri, anda perlu mengibarkan bendera negara anda. Sesetengah negara pula tidak menyukai warga Amerika, jadi secara tidak langsung rakyat kita turut terkena tempiasnya kerana bendera itu,” katanya.

Beliau yang menggesa agar bendera itu ditukarkan berhasrat memberikan beberapa cadangan berkaitan jika Pakatan Rakyat berkuasa kelak.

“Jalur pada bendera itu perlu ditukar. Warna merah dan putih telah menimbulkan banyak kekeliruan. Saya rasa bintang, bulan sabit dan warna kuning diraja harus dikekalkan,” katanya.

Beliau turut berkata, tiada apa yang salah dengan idea untuk menukarkan rekaan bendera itu kerana Malaysia masih boleh mengekalkan identiti Islam yang dikenali ramai itu.

“Mereka kata ianya Jalur Gemilang tetapi tiada apa yang gemilang kerana bendera itu tidak ubah seperti bendera Amerika,” katanya lagi.

Sumber Mstar Online